Tuesday, October 27, 2009

Tanggal 23 Oktober 2009, satu perkhemahan telah dilaksanakan di sini yang berlangsung selama 2 hari bermula pada 23.10.2009 dan berakhir pada keesokan harinya. Perkhemahan ini melibatkan semua unit beruniform iaitu Pengakap, BSMM dan Puteri Islam dari tahun 3 hingga tahun 6.
Perkhemahan ini berobjektifkan meningkatkan disiplin diri, memupuk daya kepemimpinan serta mengeratkan hubungan antara kaum. Di samping itu, perkhemahan ini dapat meningkatkan keupayaan serta kebolehan sedia ada murid.
Program bermula selepas solat Jumaat iaitu jam 2.30 petang iaitu pendaftaran peserta-peserta kem. Kemudian, peserta kem diagihkan kepada 4 kumpulan utama. Dalam kumpulan tersebut, para peserta dikehendaki menyediakan moto kumpulan serta logo. Dalam kumpulan tersebut juga peserta bersuai kenal antara satu sama lain bagi engeratkan hubungan sesama ahli.
Menurut penyelaras program, Pn. Norzila Abu Bakar, semua kumpulan akan mempunyai ahli yang pelbagai kaum dan peringkat umur. Ini bertujuan untuk mewujudkan integrasi kaum.
Selepas solat asar, para peserta mengikuti aktiviti berteraskan 'team work'. Peserta diberikan khemah-khemah unutk didirikan secara berkumpulan dengan pemerhatian fasilitator. Menurut En. Nizam, khemah ini perlu siap didirikan dalam 15 minit. Kumpulan yang dapat menyiapkan dalam tempoh aling singkat diberikan markah bonus.
Pada sebelah malam, aktiviti malam kebudayaan mula diadakan dengan pelbagai persembahan daripada para peserta. Persembahan yang dipertontonkan begitu mengasyikkan dan penuh dengan semangat setia kawan. Sebelum itu, peserta telah berlatih dengan bersungguh-sungguh di bawah pimpinan Abang Amir dan fasilitator lain. Begitu menghiburkan....
Setelah malam kebudayaan berlangsung , tibalah waktu untuk beradu. Maklumlah, pada malam pertama sudah pasti ramai peserta yang tidur lewat. Nak bersembang dengan rakan-rakan. Namun, peraturan perlu dipatuhi.
Hari kedua,
Pada hari kedua, program bermula dengan Qiamuallail dan solat subuh berjemaah. Solat subuh ini telah diketuai oleh Ust. Amri bersama-sama dengan beberapa orang guru. Tidak ketinggalan selepas solat subuh kuliah subuh juga diselitkan sebagai makanan rohani peserta.
Kemudian, senaman pagi bermula pada jam 7.30 pagi. Antara objektif senaman ini diadakan adalah unutk meningkatkan stamina serta mewujudkan generasi yang cergas, cerdas seterusnya seimbang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara (FPN).
Dalam setiap perkhemahan tidak lengkap tanpa pertandingan kawat kaki. Jadi aktiviti kawat kaki antara kumpulan telah dipertandingkan bagi melihat dan menilai sejauh manakah daya kepemimpinan dan semangat kerja berpasukan dapat ditonjolkan. Pertandingan kawat kaki ini telah diadili oleh guru-guru penolong kanan dan ketua -ketua unit beruniform.
Seterusnya, pada sebelah petang pula pertandingan 'explore-mind' diadakan. Ini bertujuan untuk menguji tahap kecekapan, kebolehan serta ketahanan diri peserta dalam menyelesaikan beberapa masalah yang mana kerjasama berpasukan amat-amat dititikberatkan.
Menurut peserta kem, mereka amat seronok dan berpuas hati dengan program kem yang dijalankan. Mereka berasakan bahawa kem seumpama ini lebih menyeronokkan jika diadakan dalam tempoh yang lebih panjang.
Perkhemahan ini berakhir pada pukul 4.30 petang.
"JATI DIRI CEMERLANG, PERIBADI GEMILANG, WADAH TERBILANG"
Selamat Bersua lagi di lain waktu.
Selamat Maju Jaya.

Tuesday, October 20, 2009

3 In 1

Syawal melabuhkan tirai dengan pelbagai aktiviti dan program. Tidak kurang juga dengan pelbagai open house di sana-sini. Maklumlah puasa sebulan raya pun nak sebulan juga. Entah-entah ada yang puasa tak cukup. Faham -faham ajelah. Nanti jangan lupa untuk ganti.

Bercerita tentang 3 in 1, SK 1 Kuala Ampang mengambil peluang yang ada dengan mengadakan Sambutan Hari Kanak-kanak, RIMUP & Hari Raya pada hari Selasa 13 Oktober yang lalu. Program ini telah berlangsung di dewan sekolah dengan perasmian dilakukan oleh Guru Besar, Pn. Hjh Musalmah bt. Baharuddin.

Selepas majlis perasmian, acara senam seni dan senam robik "poco-poco" dimulakan. Senaman ini diketuai oleh En. Amri dan dibantu oleh beberapa orang guru dan murid. Semasa senaman berlangsung, Pn. GB begitu teruja dengan mengambil bahagian dari mula hingga tamat iaitu hampir 30 minit. Waooo... Inilah baru GB cemerlang!!!!


Pelbagai aktiviti telah dipertontonkan oleh warga sekolah yang rata-ratanya tidak segan silu untuk menonjolkan bakat masing-masing. Antara aktiviti yang dijalankan ialah nyayian, tarian, lakonan, dan sketsa. Persembahan yang memukau tontonan hadirin sememangnya sukar dilupakan persembahan khas daripada adik Thulasi yang menyanyikan lagu inggeris.


Dalam majlis ini juga murid-murid yang cemerlang dan berjaya dalam beberapa pertandingan sempena hari Kanak-kanak turut mendapat habuannya. Boleh dikatakan hampir semua murid mendapat habuan.

Program 3 in 1 ini mendapat kerjasama yang amat padu daripada semua warga sekolah bagi menjayakannya. Dari mula hingga ke akhir program, semuanya berjalan dengan lancar.


Sebelum berakhirnya program ini, jamuan Hari Raya turut diadakan. Ada ketupat. rendang, nasi himpit dan kuih-muih dan tidak ketinggalan beberapa kuih tradisional. Diselang seli dengan lagu raya yang sungguh mengasyikkan. Ingatkan raya masih panjang.......


Dalam kesempatan itu juga, pihak BKGK tidak lupa menyampaikan sumbangan kepada guru yang menerima musibah dan yang akan menunaikan haji ke tanah suci.

SELAMAT HARI KANAK-KANAK

SELAMAT HARI RAYA

SELAMAT KE TANAH SUCI

SELAMAT...SELAMAT...SELAMAT...

Amin....

Friday, October 16, 2009




BAHASA JIWA BANGSA

Bahasa melambangkan sesuatu bangsa di dunia. Bahasa yang dituturkan adalah salah satu komunikasi yang berkesan dalam menjamin kelangsungan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Bersempena dengan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 (BBK) yang telah dicanang oleh kerajaan, pihak sekolah dan warganya telah mengadakan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan pada 12 Oktober 2009 (Isnin). Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh GPK Kurikulum (Pn. Hjh Zabidah bt Hassan) dan dipengerusikan oleh Pn. Zalina Idris.

Aturcara majlis dimulakan dengan perhimpunan rasmi dan bacaan doa oleh Ust. Amri. Kemudian, aturcara diteruskan dengan persembahan murid bertemakan bahasa . Antara persembahan yang telah dipertontonkan iaitu,:

  • Deklamasi puisi oleh adik Nurul Izzati Najwa dan adik Nur Hidayah.
  • Pantun oleh adik Adillah
  • Bercerita oleh adik M. Amin
  • Nyanyian oleh kumpulan murid tahun 2
  • teater muzikal oleh murid tahun 4

Menurut Ketua Panitia Bahasa Melayu SK 1 Kuala Ampang selaku pengerusi BBK peringkat sekolah, En. Mohd Faizal, pelbagai program dan akiviti telah dirancang dan diatur bagi memeriahkan sambutan BBK 2009 sepanjang bulan Oktober ini. Antara aktiviti yang dirancang ialah pertandingan bercerita, pertandingan mendeklamasi puisi, pertandingan pantun, mengarang esei, penulisan kreatif, kosa kata, bijak bahasa dan sebagainya.

Pertandingan dan aktiviti ini bertujuan menyemai semangat cinta akan bahasa kebangsaan di samping memartabatkan bahasa dalam jiwa warga sekolah amnya. Selain itu, melalui program serta aktiviti seumpama ini, ia dapat mengetengahkan budaya bangsa yang kian tenggelam di era teknologi kini.

Menurut beliau lagi, pertandingan yang diadakan ini mendapat kerjasama dan sokongan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai pihak dan warga sekolah.


Program BBK ini akan berlangsung sepanjang bulan Oktober 2009. Majlis penutupan BBK 2009 ini akan diadakan pada 30 Oktober 2009 iaitu pada hari Jumaat.


Sebarang cadangan dan komen boleh berbuat demikian di faizal_mz8@yahoo.com.


Sehingga bersua lagi...

Yellow Puppies Blogger Template | Template Design | Elque 2008